Bidang Pengarahan Ebby_Saiful

Sementara Sumpahan Mahsuri yang diterbitkan oleh syarikat milik Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1989, menonjolkan sisi Ebby sebagai penolong pengarah. Filem yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong, bukan sahaja meletakkan isterinya, Datin Rosnani Jamil sebagai penolong pengarah, malah Ebby turut dilantik sebagai penolong pengarah kedua. Penggambaran filem itu memakan masa lebih sebulan. Berkampung di Kedah dan Langkawi sepanjang penggambaran memberi banyak pengalaman dan pendekatan kepadanya dalam bidang pengarahan. Sejak itulah, Ebby meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengarah apabila Anwardi Jamil menawarkannya juga jawatan. Biarpun sinonim dengan produksi drama-drama dan filem bergenre purbakala, Ebby juga diberi peluang pada tahun 1990 apabila Anwardi mengarah drama komedi Gado-Gado dan melantiknya sebagai penolong pengarah. Bermula dengan Gado-Gado terbitan Double Vision, kemudian Anwardi memberi peluang mengarah drama bersiri purba Melaka sebanyak 13 episod dan 13 episod lagi diarahkan oleh Jamil.

Sejak itulah, Ebby mula mengorak langkah sebagai pengarah drama tanpa menoleh ke belakang dan sehingga kini lebih daripada 100 drama telah diarahkannya. Menurut Ebby, pengalaman sekian lama sebagai pengarah drama, sedikit demi sedikit menggamit hatinya untuk mengarah filem juga namun sehingga kini beliau belum mendapat kesempatan tersebut.